Satukan langkah, luruskan niat, sucikan hati bersama kita bangun generasi Rabbani.

Senin, 24 Juni 2013

PEMUDA

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله وآله وأصحابه ومن والاه. أما بعد,

Modenisasi keduniaan kini menjajah umat Islam dalam membina peribadi pemuda muslim yang unggul. Aqidah dan pegangan bak lalang yang ditiup angin menjadikan dunia ketandusan pemimpin muda. Salahu al-Din al-Ayyubi, Sultan Mahmud al-Fateh, Sheikh Badi’u al-Zaman al-Nursi [rahimahumullah] merupakan antara nama-nama besar dalam catatan sejarah Islam. Mereka-mereka inilah yang membenarkan kepentingan pemuda dalam survival dakwah dan gerakan Islam.

Mutakhir ini isu berkaitan dengan aqidah penuh di dada-dada akhbar. Gejala murtad kian membimbangkan terutama kepada ibu bapa yang prihatin masa depan anak-anak mereka. Penyakit-penyakit sosial yang kian membarah sangat menakutkan. Inilah faktor-faktor negatif yang memberi kesan kepada pertumbuhan sosial generasi pemuda kita hari ini.

Jujurnya, kita sangat-sangat merindui generasi pemuda yang Allah subhanahu wa ta’ala rakamkan di dalam surah al-Kahfi pada ayat 13. Firman Allah :

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾

“ Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah pertunjuk.”
Kepercayaan mereka tidak sesekali goyah bahkan diteguhkan oleh Allah ta’ala kerana keberanian mereka dalam menentang kemungkaran. Firman Allah di dalam ayat seterusnya :

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَٰهًا ۖ لَقَدْ قُلْنَا إِذًاشَطَطًا ﴿١٤﴾

“ Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata : "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Peristiwa yang dirakam oleh Allah ini membenarkan aqidah kepercayaan kepada Allah menjadi sumber utama kepada kekuatan pemuda dalam mengerakkan kalimah tauhid. Ujian yang menimpa ke atas para sahabat Nabi sallallhu ‘alaihi wasallam seperti Bilal bin Rabah, ‘Ammar bin Yasir, Khabbab bin Arats [ridhwanullahu ‘alaihim] membuktikan keyakinan yang sebenar-benarnya kepada Allah merupakan asas kepada kekuatan yang mereka perolehi sepanjang menempuh siksaan daripada golongan kafir Quraisy. Aqidah yang benar-benar jitu memberikan momentum pada jasad mereka sehinggakan mereka dilalaikan daripada kesakitan kerana yakin dengan janji Allah.

Allahu akbar. Betapa pemuda dahulu benar-benar telah merasai kemanisan dalam beriman kepada Allah. Justeru, sekiranya kita menginginkan agar terbentuknya satu generasi yang dipelopori oleh pemuda yang bersifat anshorullah maka kita perlu mentarbiah jiwa dan nafsu kita. Tarbiyyah tersebut mestilah bersumberkan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan apa yang dibawa oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Mereka yang mengimani lafaz syahadah bukanlah manusia yang biasa. Apatah lagi mereka itu adalah dari golongan fityaan. Ruang-ruang maksiat pasti ditutup, lubang-lubang kemurkaan pasti ditimbus. Syiar amru bi al-Ma’ruf wa nahyu ‘ani al-Mungkar pasti tertegak. Inilah yang dilakukan oleh pemuda-pemuda pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka tidak akan membiarkan maksiat bermaharajelala. Segenap ruang dan setiap pelusuk tempat pasti akan dibawakan nur syahadah. Sebagaimana mereka merasai kemanisan beriman dengan syahadah terhadap Allah seperti itu jugalah mereka ingin setiap umat manusia merasainya.

Karekteristik pemuda Islam simbol kekuatan

Menjadi pemuda yang benar-benar beriman kepada Allah subhanahu wa ta’ala samalah ertinya dengan mengambil acuan Islam dalam membentuk jati diri pemuda Islam. Justeru, simbolik kekuatan seseorang pemuda itu diperjelas melalui karakternya. Di dalam Islam, al-Quran menjadi medium terbaik dalam menerangkan karekteristik pemuda Islam.

BERANI merubah dan bertindak sebagai mujaddid terhadap sistem yang rusak. Kanvas sejarah Islam banyak memaparkan kisah-kisah kehidupan pemuda-pemuda mujaddid pada zaman dahulu. Ingatkah kita dengan ketokohan imam mazhad yang 4 dan bagaimana pula pada zaman muda mereka? Ingatkah kita lagi pada riwayat hidup Imam Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah? Ingatkah kita sejarah-sejarah mereka yang menggerakkan gerakan Islam di seluruh dunia sejak kejatuhan Khilafah pada 1924? Bukankah kebanyakkan daripada mereka itu adalah pemuda!

Sifat berani ini dibuktikan Allah ta’ala di dalam diri Sayyiduna Ibrahim [‘alaihi al-Sholati wa al-Salam] untuk mengembalikan ummat Baginda yang telah sesat dan jauh tersasar.

قَالُوا مَنْ فَعَلَ هَٰذَا بِآلِهَتِنَا إِنَّهُ لَمِنَ الظَّالِمِينَ ﴿٥٩﴾ قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ ﴿٦٠﴾

“Mereka berkata: ‘Siapakah yang (berani) melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami? Se­sungguhnya dia termasuk orang orang yang zalim, Mereka berkata: ‘Kami dengar ada seorang pemuda yang (berani) mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.”
(QS.Al­-Anbiya, 21:59-60)

Seperti ayat dari surah al-Kahfi yang telah dinyatakan di atas. Antara ciri pemuda yang beriman itu adalah seorang yang OPTIMIS lagi TEGUH PENDIRIANnya. Sekali pun mereka berhadapan dengan seorang yang diketahui suka menumpahkan darah, dengan keyakinannya terhadap janji Allah mereka tegas menyatakan pendirian mereka bahkan diriwayatkan juga di dalam tarikh ada juga orang awam yang turut beriman dengan Allah kerana terkesan dengan keyakinan pemuda Islam ini.

Lupakah kita pertembungan Baginda Musa [‘Alaihi al-Sholati wa al-Salam] ketika berdepan dengan ahli sihir Fir’aun? Yakinnya Baginda dengan Allah ta’ala, Baginda tidak gentar dan takut untuk berdepan dengan sihir-sihir  daripada ahli sihir Fir’aun bahkan ketika Allah membuktikan kebesaran Allah dan kerasulan Nabi Musa, ada yang juga ahli sihir yang turut beriman kepada Allah. Bagi penulis hanya dakwah dari mereka yang benar-benar yakin akan janji Allah sahaja dapat meyakinkan mereka yang lain untuk menerima dakwahnya.

Al-Quran juga memberitahu antara karektar seorang pemuda yang  mempunyai aqidah yang sihat adalah dengan pewatakan, perilaku dan syakhshiah yang terzahir. Bahasa yang muda, pemuda Islam itu BERMORALatau BERAKHLAK. Zaman sekarang, hal ini menjadi suatu hal yang sangat berat. Kita melihat keruntuhan moral kian merebak dalam kehidupan pemuda. Budaya-budaya Barat menjadi corak hidup yang mendominasi dunia pemuda ketika ini. Bukankah jelas al-Quran menterjemah sosok-sosok pemuda yang hebat antaranya melalui kisah Nabi Yusuf [‘alaihi al-Sholati wa al-Salam]?

Bagaimanakah sifat dan sikap Baginda Yusuf [‘alaihi al-Solati wa al-Salam] ketika digoda di ruangan yang tertutup dan tiada yang melihat mereka? Adakah kita tidak mengambil pengajaran darinya? Firman Allah ta’ala

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ﴿٢٢﴾  وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَنْ نَفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَمَثْوَايَ ۖ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ ﴿٢٣﴾ وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَنْ رَأَىٰ بُرْهَانَ رَبِّهِ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَاالْمُخْلَصِينَ ﴿٢٤﴾

Dan ketika Yusuf sampai keperingkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.  Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu) sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan- perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba- hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.
(Surah Yusuf, 12:22-24).

Sumber kekuatan pemuda

Kita mengakui, pemuda merupakan fatrah istimewa bagi setiap manusia. Pada usia ini, mereka mempunyai kecerdasan dalam berfikir, kecergasan dalam tindakan dan semangat yang berkobar-kobar. Alangkah beruntung bagi mereka yang mempunyai sifat ini dan disandarkan pula dengan aqidah yang mentauhidkan Allah. Allah, pastinya pemuda itu akan memiliki kecerdasan aqal dalam berhujah sebagaimana Nabi Ibrahim‘Alaihi al-Salam yang berdepan dengan Raja Namrud. Dia juga pastinya memiliki kecergasan sebagaimana Khalid al-Walid radhiyallahu ‘anhu di medan tempur dan keberanian seperti Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhudalam peristiwa hijrah.

Pemuda akhir zaman mungkin telah terlupa bahawa kekuatan mereka yang sebenarnya bukanlah semata-mata dari tubuh badan yang tough. Walaupun mampu mengangkat besi yang berkilo-kilo tetapi masih tidak mampu menakung air untuk berwudhuk. Ramai juga yang memiliki sosok tubuh sempurna tetapi masih gagal menunaikan exercise yang Allah fardhukan. Justeru apakah masih pemuda-pemuda di sana menganggap itu adalah kriteria kepada seorang pemuda yang mempunyai kekuatan ?. Dengan nikmat kesihatan dan tubuh badan yang segar di waktu usia muda hanya dapat di charge tenaganya apabila dia menyandarkannya kepada Allah dan mengimani Nya. Apabila tuntutan ini diperolehi maka akan lahirlah satu generasi dan parajurit Allah yang sangat-sangat ditakuti oleh musuh-musuh yang menentang Islam. Kebangkitan pemuda Islam yang mantap akidahnya dan murni peribadinya adalah satu tanda aras kepada bermulanya kebangkitan Islam dan kemenangan Islam, Insya Allah.

Justeru berdasarkan pada karektar yang diciptakan Allah pada zaman pemuda ini, inilah yang menjadi kekuatan pemuda. Mereka berani, berakhlak dan berpendirian teguh. Andai sahaja semua ini adalah hasil dari aqidah yang sejahtera maka apa lagi yang dapat dilakukan oleh musuh-musuh Islam melainkan mereka akan mengetap bibir kegeraman dan berpeluk tubuh kerana tidak mampun berbuat apa-apa. Kerana, suara anak muda dengan sifat yang sedia diciptakan pada usia itu bisa meruntuhkan segala serangan dan pertahanan musuh hatta tembok Kota Konstantinopel.

Penutup

Mudah-mudahan selepas ini saya dan kita akan lebih bersemangat untuk memenangkan Islam dengan akhlak Islam yang ditonjolkan kepada orang lain terutama musuh-musuh Islam agar terbuka pintu hati mereka untuk menerima Islam yang sebenar.

Ya, kita tidak salah untuk lantang kerana itulah pemuda. Ada kalahnya bila seorang pemuda itu mula berjuang mereka lupa bahawa mereka itu pejuang Islam maka lantang mereka dengan landasan emosi sehingga mencaci maki dan membuka aib saudara sendiri. Di manakah akhlak yang perlu ditonjolkan itu? Saya mengingatkan diri saya dan sekalian pembaca, ke’izzahan pemuda itu adalah dengan apabila mereka bersifat dengan apa yang ditonjolkan al-Quran. Sehingga mereka mengambil al-Quran sebagai sumber kekuatan nescaya mereka adalah generasi yang dirindui untuk melonjakkan Islam ke seantero dunia. Allahu ta’ala a’la wa a’lam.
Comments
0 Comments